LONDON, 23 Sept — United Kingdom (UK) “bersedia memainkan peranan” dalam konflik di Asia Barat, kata Perdana Menteri Britain Andy Burnham kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa pertemuan pertama mereka di New York pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Burnham berkata UK bersedia membantu usaha menghentikan konflik berkenaan dan “membuka Selat Hormuz.”
“Kami sependapat dengan anda bahawa Iran tidak boleh sesekali menjadi kuasa nuklear,” katanya kepada Trump.
Burnham berkata kedua-dua pemimpin membincangkan “isu perdagangan” dan “Falklands”, selain imigresen. Perdana Menteri itu berkata beliau turut menyuarakan “komitmennya untuk memastikan imigresen diurus secara terkawal.”
Perdana Menteri itu turut mengalu-alukan kenyataan Trump sebelum ini bahawa kemajuan ke arah keamanan di Ukraine boleh dicapai.
Apabila ditanya sama ada Burnham merupakan “individu yang boleh diajak berurusan” walaupun terdapat perbezaan politik antara mereka, Trump menjawab: “Ya, saya rasa begitu.”
“Saya fikir beliau mempunyai kebolehan semula jadi dalam berurusan. Kami telah mengadakan banyak perbincangan, malah sebelum pertemuan ini, kami telah bercakap melalui telefon berkali-kali,” kata Trump.
“Beliau memahaminya. Beliau tahu apa yang perlu dilakukannya.”
Trump turut bercakap mengenai imigresen di bawah pentadbirannya, manakala Burnham berkata isu itu merupakan “isu yang sangat besar” pada pilihan raya kecil Makerfield yang dimenanginya.
“Kemajuan sedang dicapai,” kata Perdana Menteri itu.
Trump berkata terdapat “semangat patriotisme yang sangat kuat di Britain”, namun negara itu sedang “menantikan kepimpinan yang baik, menantikan kejayaan.”
“Amat menggembirakan dapat bersama anda dan pasukan anda hari ini,” kata Burnham.
“Hubungan ini amat penting bagi kami. Dan kami akan terus membina hubungan itu. Anda dan saya telah mewujudkan hubungan yang baik dalam perbincangan awal kita dan hari ini kita telah memperkukuh hubungan itu.”
Kedua-dua ahli politik itu sebelum ini bertelagah mengenai dasar, namun kini berusaha mewujudkan hubungan kerja yang pragmatik.
Pada 2017, Burnham yang ketika itu Datuk Bandar Greater Manchester berkata Presiden AS itu tidak dialu-alukan di bandar berkenaan. Dua tahun kemudian, beliau berkata akan enggan bertemu Trump sekiranya Presiden AS itu melawat bandar berkenaan.
Bagaimanapun, sejak menjadi Perdana Menteri pada Julai, Burnham menekankan kepentingan mencari perkara yang boleh dipersetujui bersama dengan pihak lawan politik, sambil berkata beliau sentiasa berusaha mencari “titik persamaan”.













Tinggalkan Balasan