Raja Salman Taja 1,000 Jemaah Dari Seluruh Dunia Tunai Umrah

RIYADH, 24 Jun — Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud meluluskan kedatangan 1,000 jemaah umrah lelaki dan wanita dari seluruh dunia atas perbelanjaan peribadi beliau di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Lawatan, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan. Kumpulan pertama di bawah program itu, yang akan dijalankan dalam empat fasa sepanjang tahun 1448 Hijrah, turut terdiri daripada 250 orang dari 16 negara Asia termasuk Indonesia, Timor-Leste, Filipina, Malaysia, Kemboja, Thailand, Vietnam, Laos, Singapura, China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Mongolia.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan serta Penyelia Am program Syeikh Dr Abdullatif Al Alsheikh merakamkan ucapan terima kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci dan Putera Mahkota atas penjagaan dan komitmen berterusan mereka untuk berkhidmat kepada Islam dan umat Islam, serta usaha berterusan mereka yang membolehkan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan umrah dan melawat tanah suci dengan tenang.

Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan dedikasi kepimpinan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan umat Islam dan menggariskan misi kemanusiaan serta keagamaan Kerajaan Arab Saudi untuk membina jambatan komunikasi dengan cendiakawan, ulama dan tokoh berpengaruh dalam seluruh masyarakat Islam di seluruh dunia.