Tenaga Angin Pacu Cita-cita Ekonomi Hijau Vietnam Di Asia Tenggara

PHNOM PENH, 2 Jun — Kerajaan Vietnam sedang melaksanakan dasar tegas untuk mempercepat pembangunan tenaga angin di darat bagi meningkatkan bekalan tenaga boleh diperbaharui ketika negara itu memperluas penggunaan tenaga hijau.

Peralihan negara Asia Tenggara itu kepada tenaga boleh diperbaharui amat penting bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat untuk memacu sektor perindustrian, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import arang batu dan gas.

Pada masa sama, Vietnam berusaha mengurangkan pencemaran daripada loji janakuasa arang batu, melindungi kualiti udara bandar dan beralih kepada ekonomi rendah karbon yang menyokong hampir 100 juta penduduk.

Permintaan elektrik terus meningkat. Menurut media tempatan, penggunaan elektrik Vietnam melebihi satu bilion kilowatt-jam pada Mei berikutan cuaca yang semakin panas, sekali gus mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa.

Bagi menangani peningkatan permintaan tenaga, Pelan Pembangunan Tenaga Nasional Vietnam 2021-2030 menggariskan pembangunan tenaga angin darat, pesisir pantai dan luar pesisir, serta tenaga solar khususnya solar permukaan air sebagai elemen utama untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara.

“Vietnam wajar mempertimbangkan integrasi tenaga angin luar pesisir dan hidrogen sebagai penyelesaian strategik untuk menjamin keselamatan tenaga sambil mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” kata Dr Du Van Toan dari Institut Meteorologi, Hidrologi, Alam Sekitar dan Sains Marin seperti dilaporkan Vietnamplus pada Ahad.

Tenaga angin kini muncul sebagai tonggak strategik dalam agenda peralihan tenaga Vietnam, disokong oleh bahan api seperti hidrogen hijau.

Tenaga boleh diperbaharui ketika ini menyumbang kira-kira 26 peratus daripada campuran penjanaan tenaga Vietnam, namun pihak berkuasa menjangkakan angka itu meningkat kepada 36 peratus menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada agenda transformasi hijau negara.

Laporan World Bank bertajuk “Next Steps for Advancing Vietnam’s Offshore Wind Journey” yang diterbitkan tahun lalu menyatakan Vietnam mempunyai sumber tenaga angin luar pesisir yang besar berhampiran pantainya, hasil garis pantai yang panjang dan keadaan angin yang menggalakkan.

Terletak di bahagian timur Semenanjung Indochina, Vietnam memiliki garis pantai sepanjang 3,260 kilometer di sepanjang Laut China Selatan dan Teluk Thailand yang menerima tiupan angin monsun kuat, sekali gus sesuai untuk pembangunan sektor itu.

“Tenaga angin luar pesisir menawarkan peluang strategik kepada Vietnam untuk mempelbagaikan campuran tenaga, memperkukuh keselamatan tenaga dan menyokong pertumbuhan mampan,” kata Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Vietnam, Kemboja dan Laos, Mariam J. Sherman ketika pelancaran laporan itu tahun lalu.

Vietnam menyasarkan penjanaan 6,000 megawatt (MW) tenaga angin luar pesisir menjelang 2030, meningkat kepada 15,000 MW pada 2035 dan 139,000 MW menjelang 2050. 

Menurut Vietnamplus, jumlah itu akan mewakili antara 20 hingga 25 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan elektrik terpasang negara.