Trump Tandatangan Undang-Undang Wajibkan Fail Epstein Didedahkan

WASHINGTON, 20 Nov — Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau menandatangani rang undang-undang yang diluluskan Kongres bagi mengarahkan Jabatan Kehakiman (DoJ) mendedahkan semua rekod berkaitan kes pesalah seks Jeffrey Epstein, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik kenyataannya di platform Truth Social.

“SAYA BARU SAHAJA MENANDATANGANI UNDANG-UNDANG UNTUK MENDEDAHKAN FAIL EPSTEIN,” kata Trump dalam hantaran panjang itu.

Rang undang-undang itu diluluskan oleh Dewan Perwakilan AS pada Selasa sebelum mendapat kelulusan Senat pada awal pagi Rabu.

Melalui undang-undang itu, DoJ diwajibkan mendedahkan semua rekod siasatan, pendakwaan dan tahanan berkaitan Epstein serta bekas rakannya Ghislaine Maxwell dalam tempoh 30 hari selepas ia dikuat kuasa.

Peraturan itu turut mengarahkan penerbitan log penerbangan, jadual perjalanan serta dokumen berkaitan Epstein.

Pengecualian hanya dibenarkan bagi rekod yang masih terikat dalam siasatan yang sedang berjalan atau yang memerlukan penyuntingan bagi melindungi identiti mangsa atau maklumat sensitif.

Epstein, seorang jutawan dengan rangkaian kenalan berprofil tinggi, melakukan penderaan seksual dan pemerdagangan manusia melibatkan wanita dan kanak-kanak perempuan selama bertahun-tahun.

Dia meninggal dunia di sebuah penjara New York pada 2019 dan pihak berkuasa merumuskan sebagai bunuh diri.