Kecuaian Manusia Berkemungkinan Punca Feri Terkandas Di Pesisir Barat Daya Korea Selatan

MOKPO (Korea Selatan), 20 Nov — Kecuaian manusia berkemungkinan menjadi punca sebuah feri terkandas berhampiran pesisir barat daya Korea Selatan minggu ini, menurut Pengawal Pantai pada Khamis, lapor Yonhap News.

Feri Queen Jenuvia II seberat 26,546 tan itu membawa 246 penumpang dan 21 kru ketika ia terkandas di Pulau Jok, sebuah pulau kecil tidak berpenghuni berhampiran Pulau Jangsan di pesisir Sinan, kira-kira 366 kilometer di selatan Seoul, pada 8.17 malam (waktu tempatan) Rabu.

Dalam pusingan pertama soal siasat, kru memaklumkan kepada Pengawal Pantai bahawa jurumudi yang bertugas sedang melihat telefon bimbit, membiarkan feri berada dalam mod pandu auto sedangkan ia sepatutnya dikendalikan secara manual ketika melalui perairan sempit.

Akibat kecuaian itu, feri berkenaan terkandas di Pulau Jok. 

Pengawal Pantai berkata mereka merancang untuk mengenakan pertuduhan jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Feri itu kemudian berjaya ditarik keluar sebelum belayar ke pelabuhan berhampiran di bandar Mokpo pada 5.44 pagi (waktu tempatan), kira-kira sembilan jam selepas kejadian.

Tiada kebocoran atau kerosakan dikesan pada kapal.

Semua penumpang dibawa ke darat dalam tempoh tiga jam selepas kejadian, manakala kru kekal di atas kapal bagi membantu mengendalikan feri itu ke pelabuhan.

Tiada penumpang dilaporkan cedera parah, namun beberapa orang dihantar ke hospital selepas mengadu sakit ringan atau mengalami gangguan emosi.

Pengendali feri, Seaworld, berkata semua perkhidmatan digantung sehingga siasatan dan pemeriksaan keselamatan selesai.

Penumpang turut dimaklumkan untuk mengeluarkan kenderaan dan bagasi selepas feri tiba di pelabuhan.

Sebanyak 118 kenderaan berada di atas feri itu ketika ia dalam perjalanan dari pulau selatan Jeju ke Mokpo.