Xi Bertemu Anwar di Shenzhen, Komited Pertingkat Kerjasama Bertaraf Tinggi China-Malaysia

Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Shenzhen pada Jumaat pagi, sempena kehadiran pemimpin itu ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33.

Dalam pertemuan itu Xi berkata, beliau dan Anwar telah mencapai konsensus penting untuk membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia yang strategik dan bertaraf tinggi, sempena lawatan beliau ke Malaysia pada April tahun lalu, sekali gus memulakan “jubli emas” baharu bagi hubungan kedua-dua negara.

Katanya lagi, dalam tempoh setahun lalu, hubungan China-Malaysia berkembang baik, manakala kerangka kerjasama kedua-dua negara juga semakin memperlihatkan hasil yang memberangsangkan.

Xi menegaskan bahawa asas politik hubungan kedua-dua negara amat kukuh, kelebihan kerjasama amat jelas dan prospek pembangunan juga amat cerah.

Mengulas lanjut Xi berkata, kedua-dua negara harus meningkatkan koordinasi strategi bertaraf tinggi, mengekalkan komunikasi strategik peringkat tinggi, saling menyokong dalam memelihara kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan masing-masing, serta meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan.

Selain itu, kedua-dua negara juga perlu meneroka potensi kerjasama baharu, membina dan mengendalikan projek utama dengan bermutu tinggi, serta memperluas dan mengoptimumkan perdagangan produk pertanian, kata Xi.

Beliau juga berkata China dan Malaysia perlu bersama-sama menerajui pertukaran dan pembelajaran antara tamadun, terus berusaha mengendalikan “Dialog Tamadun Konfusianisme-Islam” China-Malaysia dengan baik, memperluas kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan dan lain-lain.

Beliau turut menyeru supaya hubungan kedua-dua negara dipererat lagi menerusi pertukaran antara rakyat dan peringkat tempatan, selain bersama-sama memajukan pembaharuan tadbir urus global, memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dalam kerangka multilateral seperti APEC, serta bersama-sama mengamalkan multilateralisme sebenar, sekali gus memelihara kepentingan bersama negara-negara membangun.

Sementara itu Anwar menyatakan bahawa China telah mencapai kejayaan yang cemerlang di bawah pimpinan Presiden Xi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak China yang berjaya menganjurkan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 dan rundingan tiga hala antara China, Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Anwar, kejayaan tersebut jelas memperlihatkan kewibawaan dan daya kepimpinan Xi dalam hal ehwal antarabangsa.

Katanya “deklarasi keamanan” yang diumumkan pemimpin China, Rusia dan AS juga mempunyai makna strategik penting dalam situasi antarabangsa pada masa ini. 

Tegasnya, isu mengenai Taiwan merupakan urusan dalaman China dan pihaknya mempertahankan dasar satu China.

Anwar juga menyatakan bahawa Malaysia bersedia meningkatkan kerjasama strategik dengan China, memainkan peranan mekanisme kerjasama kedua-dua negara dengan baik, mengendalikan projek utama pembinaan infrastruktur secara efisyen serta memperkukuh kerjasama dalam sektor-sektor baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

Ujarnya lagi, Malaysia komited mempromosikan dialog dan pertukaran antara tamadun dengan China, memperkasakan koordinasi dan kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa, sekali gus melonjakkan hubungan Malaysia-China ke tahap lebih tinggi.