indungKUALA LUMPUR, 9 Julai — Kerajaan memutuskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata bagaimanapun, caruman Skim LINDUNG 24 Jam kekal mandatori bagi pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri selepas meneliti pandangan rakyat berhubung pelaksanaan skim berkenaan.
“Pekerja tempatan kini boleh memilih sama ada ingin mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.
“Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh PERKESO dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan berkata walaupun pelaksanaan skim itu kini bersifat sukarela bagi pekerja tempatan, ia kekal sebagai inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sekiranya mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.
Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim berkenaan menjelang penghujung tahun, termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampanan dana bagi memastikan LINDUNG 24 Jam terus memberi manfaat kepada rakyat.
“Sekiranya diperlukan, hasil penelitian itu akan dibentangkan di Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya.
PERKESO turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kesedaran rakyat mengenai manfaat skim itu serta kepentingan perlindungan sosial.
















Tinggalkan Balasan