JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) — Barisan Nasional (BN) Johor menyifatkan kemenangan lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebagai mandat besar yang diberikan rakyat untuk terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan pelbagai isu demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kemenangan itu ialah satu amanah besar yang diterima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.
“Syukur alhamdulillah, seperti yang disebut Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN Johor telah memenangi lebih daripada 40 kerusi hari ini. Dengan penuh rasa rendah hati, saya, bagi pihak kepimpinan BN Johor, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.
“Mandat besar ini memberikan semangat kepada BN Johor untuk terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih baik. Itulah komitmen kami apabila diberi mandat sebegini,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini malam ini.
Turut hadir Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Onn Hafiz berkata kemenangan itu hanya dapat dicapai dengan izin Allah serta hasil usaha dan pengorbanan seluruh jentera parti sepanjang tempoh berkempen.
Beliau turut mengingatkan semua wakil rakyat BN yang dipilih bahawa kemenangan tersebut hadir bersama tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum mahupun pegangan politik.
Beliau berkata dengan perkenan Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor, kerajaan negeri akan terus berusaha menjayakan agenda Maju Johor demi kesejahteraan rakyat.
“Kepada wakil rakyat yang baru menang, anda mempunyai tanggungjawab besar. Mandat yang diberi adalah untuk menjaga seluruh Bangsa Johor, sama ada mereka menyokong kita ataupun tidak.
“Kita akan menjaga semua rakyat Johor, Melayu, Cina, India, Orang Asli dan seluruh Bangsa Johor.
“Marilah kita sama-sama rapatkan saf, buang yang keruh, ambil yang jernih. Musim pilihan raya telah berakhir, sekarang masa untuk memikul tanggungjawab membina Johor yang kita impikan bersama, insya-Allah,” katanya.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN berjaya memperoleh majoriti mudah 29 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, setakat ini.
















Tinggalkan Balasan