DUN Johor Dibubar Hari Ini

JOHOR BAHRU, 1 Jun — Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau di Saujana di sini, petang ini.

Beliau berkata pembubaran itu dilakukan selepas mendapat titah perkenan daripada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam satu majlis menghadap yang berlangsung hari ini.

Onn Hafiz berkata pembubaran itu selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh, insya-Allah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi dengan penuh adab, tertib dan berhemah demi menjaga keharmonian serta kemuafakatan.

Pada PRN Johor 2022, UMNO-Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi, Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).