Peletakan Jawatan Saya Berkuat Kuasa Sebaik Najib Tiba Di Kediaman – Loke

PUTRAJAYA, 6 Nov — Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediaman untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Loke berkata surat peletakan jawatannya sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Sept lepas dan beliau akan mengemukakan surat tambahan bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung perkara tersebut.

“Kalau malam ini dia jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian tegas parti berkenaan berhubung isu tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.