KUALA LUMPUR, 4 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) hari ini, sekali gus memperlihatkan komitmen Malaysia untuk mempercepat agenda peralihan tenaga ke arah masa depan yang mampan.
Anwar dijadual menyampaikan ucaptama khas beliau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9.50 pagi.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata ETCon26 mencerminkan visi MADANI dengan memacu kemajuan mampan, yang meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui nilai ihsan, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan.
Persidangan yang berlangsung dari 3 hingga 5 Jun itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.
Persidangan utama oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu menghimpunkan pihak berkepentingan global bagi mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara, selain menjadi platform pertemuan pembuat dasar, pakar teknologi, pelabur, ahli akademik serta pihak industri dari lebih 60 negara, dengan 4,000 perwakilan menyertai sepanjang acara tiga hari itu.
Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition” (Tenaga & AI : Sinergi Bagi Peralihan Tenaga) menumpukan tiga tonggak utama iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition (ET) for People (Tenaga bagi AI, AI untuk Tenaga dan Peralihan Tenaga (ET) untuk Rakyat) yang memaparkan kesalingbergantungan antara sistem tenaga dan teknologi digital.
















Tinggalkan Balasan