SEREMBAN, 20 Julai — Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memberikan penekanan kepada janji yang mampu dilaksanakan, bukan sekadar retorik politik, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata manifesto berkenaan dirangka berdasarkan pengalaman lapan tahun pentadbiran PH di negeri itu, dengan tumpuan kepada kesinambungan agenda sedia ada serta penambahbaikan bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Kalau sebelum ini kita banyak meletakkan apa yang ingin kita laksanakan, tetapi kali ini kita tambah baik dan kita perkasakan dalam lima tahun akan datang.
“Lima tahun ini adalah untuk kita memastikan bahawa ia benar-benar menjadi kenyataan, dan yang utama adalah menjadikan Negeri Sembilan mempunyai asas yang boleh kita letakkan kepada anak cucu kita pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran manifesto PH Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Terdahulu, Aminuddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada PRN kali ini, melancarkan manifesto bertemakan “Negeri Sembilan Kekal Harapan”, yang menggariskan 10 komitmen utama.
Aminuddin berkata sepanjang pentadbiran PH di Negeri Sembilan, hampir semua manifesto terdahulu berjaya direalisasikan kecuali berkaitan pindaan undang-undang yang tidak diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum pembubaran DUN pada 5 Jun lepas.
Dalam pada itu, Pengerusi PKR negeri itu menyarankan semua calon PH menjadikan manifesto berkenaan sebagai panduan utama sepanjang tempoh berkempen dengan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai tawaran yang diberikan dan bukannya terarah kepada retorik atau serangan politik.
“Saya akan pastikan mereka hari-hari baca, faham, sampaikan kepada rakyat apa yang ingin kita buat. Bukannya kita buat fitnah, kita bergaduh, kita menyampaikan perkara yang tak perlu.
“Yang rakyat inginkan adalah sebuah manifesto yang boleh dilaksanakan dan saya yakin kami dah mampu laksanakan. Kita ada track record kita,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.
















Tinggalkan Balasan