KUALA LUMPUR, 2 Mei — Tourism Malaysia kini menjadi tuan rumah kepada wakil media antarabangsa dari seluruh rantau menerusi siri Program Mega Familiarisation Trip (Mega Fam) dari 30 April hingga 4 Mei, yang menawarkan pengalaman silang budaya bersama di Malaysia.
Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program itu, yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Pekerja dan Festival Muzik Rain Rave Water 2026, menghimpunkan 41 wakil media dari rantau Asia Timur, Oceania, Asia Selatan serta Asia Tenggara termasuk Australia, China, India, Jepun dan Korea Selatan.
“Inisiatif ini berfungsi sebagai platform strategik bagi memperkukuh penglibatan bersama-sama media antarabangsa di samping memposisikan Malaysia sebagai destinasi yang terkenal dengan kepelbagaian budaya yang kaya dan tawaran pelancongan dinamik selaras tema Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia: A Culturally Rich and Sustainable Destination,” menurut kenyataan itu.
Menurut Tourism Malaysia, program itu merangkumi perjalanan imersif selama lima hari empat malam yang meneroka destinasi ikonik serta tarikan budaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Jadual perjalanan turut meliputi pengalaman terpilih seperti Skyline Luge di Gamuda Cove, KL Hop-On Hop-Off City Tour, Immersify KL dan Cruise Putrajaya.
“Kesemua destinasi ini dipilih secara strategik berdasarkan peranannya sebagai pintu masuk antarabangsa utama dan pusat pentadbiran sekali gus menawarkan perspektif menyeluruh kepada peserta mengenai kemeriahan bandar serta identiti budaya Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Tourism Malaysia turut memaklumkan bahawa Mega Fam terbaharu ini ialah acara ketiga dalam siri berkenaan selepas Mega Fam Iftar yang memberi tumpuan kepada bulan Ramadan pada Februari serta satu lagi lawatan yang diadakan bersempena dengan Pesta Vaisakhi pada pertengahan April.
“Secara keseluruhannya, ia platform dinamik untuk mengetengahkan kekayaan budaya, kreativiti dan daya tarikan pelancongan Malaysia sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi yang kompetitif serta menarik bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata Program Mega Fam kekal sebagai inisiatif yang menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia melalui penglibatan media global serta pemimpin pendapat utama.
“Dengan menyediakan pengalaman secara langsung dan imersif kepada media antarabangsa mengenai warisan budaya kita yang kaya serta tarikan moden, kita sedang membina kerjasama jangka panjang yang penting bagi memastikan kejayaan besar dalam promosi pelancongan melangkaui Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurutnya dalam kenyataan itu.
















Tinggalkan Balasan