Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Takziah Kepada Keluarga Mangsa Insiden Platform Sepat

KUANTAN, 25 Mei — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga pekerja yang maut dalam insiden di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, semalam.

Baginda berdua turut berdukacita dan amat bersimpati atas tragedi berkenaan, yang dua daripada mangsa terkorban merupakan anak Pahang iaitu Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan dan Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota.

“Baginda berdua mendoakan roh kesemua mangsa dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang. 

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berharap seluruh ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi saat yang amat sukar dan menyedihkan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah dan menganggap pemergian mereka ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam pekerjaan merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga tercinta malah kepada industri yang diceburi.

“Saya mendoakan roh ketiga-tiga Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook. 

Semalam media melaporkan tiga pekerja platform minyak maut manakala seorang parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di platform berkenaan.

Selain Muhammad Faezuan Hakim dan Nik Muhammad Hafifi Asri turut maut dalam kejadian itu ialah  Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka. 

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.