APMM Tahan Vesel Kargo Disyaki Bersauh Tanpa Kebenaran Di Perairan Negara

IPOH, 8 Nov — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah vesel kargo disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat daya Pulau Jarak dekat Lumut semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata vesel berdaftar di Gambia itu dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan oleh Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk tindakan pemeriksaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh 21 kru, iaitu 11 warga Pakistan, lapan warga Iran dan dua warga Indonesia.

“Pemeriksaan mendapati vesel itu disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainudin berkata kesemua kru dan ketua jurutera vesel itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan dan dokumen berkaitan kapal turut disita untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Beliau berkata kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.