“Bersekutu Bertambah Mutu” Terus Jadi Asas Kesejahteraan Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Dalam dunia yang semakin pantas dipacu teknologi dan media sosial, semangat saling memahami, bertolak ansur dan bekerjasama menjadi asas penting dalam memastikan keharmonian serta kemajuan negara terus terpelihara.

Semangat “Bersekutu Bertambah Mutu” perlu terus dihayati sebagai asas membina masyarakat yang sentiasa menghormati perbezaan dan mengukuhkan persefahaman demi keharmonian negara.

Selepas lebih enam dekad kemerdekaan, Pensyarah Kanan Sosiobudaya dan Pengajian Warisan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Yuszaidy Yusoff berkata cogan kata itu kekal relevan dan perlu menjadi pegangan setiap rakyat dalam menghadapi cabaran semasa.

“Cogan kata ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ mempunyai makna yang luas, iaitu satu semangat untuk meraikan rasa kekitaan dalam segala aspek termasuk perpaduan, kemakmuran dan limpahan ekonomi yang dapat dirasai oleh setiap masyarakat Malaysia.

“Jika setiap rakyat dapat menghayati prinsip tersebut, maka ia akan membentuk satu masyarakat yang lebih bertoleransi, cintakan tanah air sekali gus membina satu ikatan yang lebih kuat antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama.

Seruan untuk kembali menghayati cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu” itu turut ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Ipoh, Perak pada 19 Julai lepas.

Perdana Menteri dalam ucapannya menyeru rakyat supaya menghayati semula cogan kata kemerdekaan “Bersekutu Bertambah Mutu”, yang menurut beliau kekal relevan sebagai asas membina sebuah negara bangsa yang bersatu seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.

Tema ini membawa gambaran visi kerajaan untuk membina sebuah negara yang maju dan harmoni dengan kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Mengulas lanjut, Yuszaidy berkata penghayatan cogan kata itu perlu bermula dengan kefahaman terhadap budaya, adat dan kepercayaan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik.

“Malah, penghayatan budaya dan nilai itu boleh diterjemahkan secara praktikal antaranya melalui aktiviti gotong-royong yang membuka ruang kepada setiap orang untuk mengambil bahagian, mendekati masyarakat setempat dan berkongsi idea,” katanya.

Beliau berkata semangat kebersamaan turut perlu diterapkan dalam hubungan antara generasi dengan memberi ruang kepada golongan muda dan lebih berusia untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam menangani isu masyarakat, sekali gus merapatkan jurang yang wujud akibat perbezaan pengalaman dan cara pandang.

Seiring perkembangan teknologi, Yuszaidy berkata media sosial boleh dimanfaatkan untuk memperluas kefahaman mengenai kepelbagaian masyarakat dan menyampaikan mesej perpaduan dalam bentuk yang lebih dekat dengan generasi muda, termasuk melalui kandungan kreatif seperti animasi dan aktiviti interaktif.

Namun, beliau berkata kepantasan penyebaran maklumat di media sosial menuntut pengguna bersikap lebih kritis dengan menyaring dan menilai kandungan sebelum menerimanya atau berkongsi dengan orang lain, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti budaya dan hubungan antara kaum.

Senada, tokoh bahasa dan persuratan negara Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan berkata setiap pemimpin dan rakyat perlu bersama-sama menghayati prinsip “Bersekutu Bertambah Mutu” kerana perpaduan merupakan teras kestabilan negara dalam semua bidang.

“Tanpa perpaduan, pembangunan ekonomi tidak dapat dilaksanakan dengan lancar. Modal insan sebagai tenaga pembangunan negara tidak dapat digemblengkan. Sistem pendidikan negara tidak dapat menjadi penyatu generasi muda. Keselamatan negara dan ketenteraman awam turut terjejas,” katanya.

Ahli Dewan Negara itu juga berkata kepelbagaian keturunan, budaya, agama dan bahasa yang wujud di negara ini perlu diterjemahkan menerusi persefahaman, sikap bertolak ansur dan saling menghormati kelainan yang ada.

Beliau berkata asas dan mekanisme telah disusun menerusi Perlembagaan Persekutuan, pelbagai akta seperti Akta Pendidikan dan Akta Bahasa Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Negara, Dasar Perpaduan Negara dan Rukun Negara.