DOF Jamin Bekalan Udang Tempatan Mencukupi

PUTRAJAYA, 13 Jun — Jabatan Perikanan (DOF) memberikan jaminan bahawa bekalan udang segar tempatan di pasaran di seluruh negara mencukupi, stabil, dan tidak mengalami sebarang gangguan bekalan pada masa ini.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain berkata subsektor udang marin negara yang merangkumi udang harimau (Penaeus monodon) dan udang putih (Litopenaeus vannamei) menunjukkan prestasi kukuh.

Beliau berkata setakat Mei tahun ini, pengeluaran udang marin tempatan dilaporkan telah mencapai 14,308.36 tan dengan nilai borong sebanyak RM386.57 juta.

“Pada peringkat negeri, Selangor terus kekal sebagai antara penyumbang utama Zon Tengah dalam pengeluaran udang negara dengan rekod pengeluaran 2,463.17 tan pada 2025 bernilai RM84.85 juta, serta 852.71 tan hingga bulan lepas, sekali gus mengukuhkan kestabilan bekalan udang segar di pasaran domestik secara berterusan.

“Penternak udang tempatan mempunyai kapasiti yang kukuh dan berdaya tahan untuk menampung keperluan pasaran domestik secara berterusan, selaras dengan jaminan keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata pengeluaran udang marin negara direkodkan sebanyak 60,970.79 tan pada 2024, dan 57,047.80 tan pada tahun lepas, menunjukkan trend pengeluaran yang stabil.

Dari segi nilai ekonomi, beliau berkata subsektor itu mencatat nilai borong sebanyak RM1.66 bilion pada 2024 dan RM1.53 bilion pada 2025, dengan anggaran nilai pasaran runcit melebihi RM2.1 bilion. 

Adnan, dalam pada itu, berkata bagi memastikan kelestarian industri, DOF memperketat kawalan biosekuriti di semua pintu masuk negara untuk mengelakkan risiko penyakit akuakultur seperti Early Mortality Syndrome (EMS) dan White Spot Syndrome Virus (WSSV).

Langkah penguatkuasaan itu, katanya, dapat memastikan produk akuakultur di pasaran tempatan sentiasa berada pada tahap yang selamat, berkualiti tinggi, dan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Selain itu, usaha transformasi industri akuakultur terus diperkukuh melalui pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) serta penggunaan teknologi moden seperti Recirculating Aquaculture System (RAS) dan teknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi pemantauan kualiti air secara masa nyata. 

“Pembangunan baka udang tempatan bebas penyakit (SPF) terus dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar,” katanya.

Terdahulu, Adnan melakukan lawatan kerja ke Kilang Pemprosesan Udang Harimau Camaroe Bhd di Kapar, Selangor hari ini bagi meninjau perkembangan industri hiliran akuakultur dan rantaian bekalan makanan laut negara.

Semasa lawatan berkenaan, Adnan turut meninjau operasi pemprosesan udang harimau bagi pasaran tempatan dan eksport serta bertukar-tukar pandangan dengan pihak industri tentang usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan laut negara yang lebih mampan, moden dan berdaya saing.

Turut dibincangkan ialah aspek pematuhan piawaian keselamatan makanan antarabangsa, pembangunan produk nilai tambah, penerapan teknologi dan automasi serta pelaksanaan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi meningkatkan daya saing industri akuakultur Malaysia pada peringkat global.

“Industri udang negara mempunyai asas yang kukuh serta disokong oleh pengusaha yang berpengalaman, penggunaan teknologi moden dan amalan biosekuriti yang semakin mantap.

“DOF akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan bekalan udang negara kekal stabil, selamat dan berkualiti tinggi, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. 

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur Khazlita Adzim Abdol Aziz@Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan Shamila Zainol, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Selangor Ahmad Redzuan Ramli serta pegawai-pegawai perikanan dari ibu pejabat dan negeri.