Dua Individu Dipercayai Pasangan Kekasih Ditahan Bersama Rampasan Dadah Lebih RM13,000

ARAU, 11 Julai — Dua individu dipercayai pasangan kekasih ditahan bersama rampasan dadah seberat 419.82 gram (g) dianggarkan bernilai RM13,830 di Taman Sri Wang, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata polis menahan lelaki yang bekerja sebagai tukang cat kereta berumur 38 tahun dan wanita yang merupakan peniaga dalam talian berumur 43 tahun itu ketika penugasan Ops Motosikal/Samseng Jalanan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Arau pada 10.40 malam.

Beliau berkata semasa penugasan itu, polis terlihat pasangan terbabit menaiki motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam dipercayai melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat lalu mengekori motosikal itu dan mengarahkan penunggang agar berhenti.

“Bagaimanapun, lelaki yang menunggang motosikal tersebut enggan berhenti dan bertindak melarikan diri. Polis kemudian mengejar motosikal tersebut sehingga Taman Sri Wang sebelum berjaya menahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ahmad Mohsin berkata berdasarkan pemeriksaan terhadap motosikal terbabit, polis menjumpai satu beg berzip hitam diletakkan di dalam bakul kenderaan itu dan menemukan satu plastik lutsinar mengandungi 13 peket plastik lutsinar pelbagai saiz dengan setiap satunya mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 380.45 g.

Selain itu, katanya, turut ditemukan satu plastik lutsinar mengandungi 13 peket plastik lutsinar pelbagai saiz dengan setiap satunya mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 39.37 g, selain seunit alat penimbang digital berwarna merah.

“Rampasan dadah heroin itu bernilai RM9,500, manakala syabu bernilai RM4,330 dan jumlah keseluruhannya ialah RM13,830,” katanya yang turut memaklumkan hasil saringan awal urin terhadap lelaki dan wanita itu didapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Ahmad Mohsin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta mereka direman tujuh hari bermula hari ini.