KUALA LUMPUR, 19 April — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima laporan dua kejadian tanah runtuh di Jalan Indah 4, Kampung Ampang Indah, Ampang susulan hujan lebat petang tadi, namun tiada mangsa terlibat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kejadian pertama melibatkan runtuhan tanah di lereng bukit di belakang sebuah rumah yang dilaporkan berlaku pada 3.35 petang.
“Terdapat runtuhan tanah di lereng bukit berkeluasan 20×20 kaki di belakang rumah yang tidak melibatkan struktur mahupun mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima satu lagi laporan kira-kira 16 minit kemudian melibatkan sebuah van yang rosak akibat dihempap runtuhan tebing berkeluasan 15×20 kaki di Lot 1777 di jalan yang sama.
Beliau berkata kedua-dua kejadian itu tidak melibatkan sebarang struktur atau mangsa dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikerahkan ke lokasi berkenaan.
















Tinggalkan Balasan