Hubungan UniMAP Dengan Industri Terus Diperkasa, Bangun Bakat Berkemahiran Tinggi

DA NANG, 5 Sept — Hubungan antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pemain industri teknologi perlu diperkasa dalam membangunkan bakat berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), mikroelektronik dan semikonduktor.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bidang tersebut adalah antara kekuatan teknikal strategik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang mempunyai kaitan langsung dengan keperluan industri teknologi tinggi negara, terutama ekosistem semikonduktor di Wilayah Utara.

“Menteri Pendidikan Tinggi ketika mengunjungi UniMAP turut menekankan kekuatan kemudahan terkini universiti dalam bidang elektronik dan semikonduktor, sekali gus memperlihatkan peranan institusi itu dalam menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi negara.

“Kekuatan akademik UniMAP dalam bidang berkenaan merangkumi Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Elektronik dan Teknologi Kejuruteraan Elektronik serta bidang berkaitan sistem elektronik dan teknologi digital,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor UniMAP bertitah demikian ketika mengetuai delegasi International Leadership Mobility (ILM) UniMAP melawat Orient Software Development Corporation di sini hari ini, yang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Oyvind Forsbak.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP, puteri-puteri baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah program-program tersebut memberi pendedahan kepada penuntut dalam aspek reka bentuk litar bersepadu, mikroelektronik, sistem elektronik dan teknologi semikonduktor, selain menyediakan asas teknikal bagi memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks.

Baginda bertitah hubungan rapat dengan industri turut menjadi antara kekuatan utama UniMAP dalam memperkukuh bidang khusus itu, dengan jaringan melibatkan pemain E&E dan semikonduktor seperti Intel, Infineon, Micron, AT&S, Oppstar, Inari, SkyeChip, Ibiden Electronic, Analog Devices dan AMD.

“Hubungan itu turut diterjemahkan melalui pembangunan bakat apabila lebih 40 peratus pereka cip di Oppstar dilaporkan merupakan alumni UniMAP, menjadi contoh nyata bahawa kepakaran yang dibangunkan universiti dapat memenuhi keperluan industri,” titah baginda.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar berkata sebagai universiti teknikal, UniMAP yakin kerjasama universiti-industri perlu melangkaui pertukaran ilmu pengetahuan tradisional.

“Kita memerlukan kerjasama yang dapat menterjemahkan penyelidikan, inovasi dan bakat kepada penyelesaian praktikal dan impak yang bermanfaat.

“Dalam hal ini, kita melihat potensi yang cerah bagi kerjasama antara UniMAP dan Orient Software, terutama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), AI Generatif, pembelajaran mesin, analisis data, pengkomputeran awan, keselamatan siber, Internet Pelbagai Benda, kejuruteraan perisian dan transformasi digital,” katanya semasa lawatan tersebut.

Beliau berkata daripada perspektif penyelidikan, ahli akademik dan penyelidik UniMAP boleh bekerjasama dengan pakar industri Orient Software dalam penyelidikan bersama dan gunaan, penerbitan, inisiatif geran penyelidikan, pembangunan bukti konsep dan penyelesaian teknologi yang menangani cabaran industri sebenar.