Imigresen Johor Tahan 27 Warga Asing Atas Pelbagai Kesalahan

JOHOR BAHRU, 10 Mei — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 27 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang menyasarkan premis makanan sekitar daerah ini bermula 3 petang, semalam.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata kesemua ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita warga Myanmar serta masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh, Pakistan dan Nepal berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun.

Beliau berkata operasi dijalankan hasil risikan, pemantauan dan aduan awam terhadap majikan tempatan yang didapati menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas kerja sah. 

“Mereka yang bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata sebanyak tiga keping borang 29, iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan premis perniagaan sebagai ‘lubuk’ menggaji pendatang tanpa izin demi mengaut keuntungan mudah,” tegasnya.