SEPANG, 21 Okt — Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis.
Mohd Shuhaily, 54, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani dan meminta dibicarakan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman di antara pukul 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 28 Sept lepas.
Beliau turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Datuk Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily diwakili oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.














Tinggalkan Balasan