KUALA LUMPUR, 22 Okt — Pembangun aplikasi tempatan boleh memanfaatkan data terbuka berkaitan pengangkutan awam yang dapat membantu memudahkan orang ramai merancang perjalanan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) mengamalkan dasar data terbuka sejak beberapa tahun lepas dengan maklumat itu boleh diakses oleh pihak yang berminat membangunkan aplikasi pengangkutan awam.
“Kementerian ini menggalakkan pembangunan aplikasi tempatan yang menyokong kemudahan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di sini hari ini.
Loke berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai sokongan MOT terhadap pembangunan ekosistem aplikasi tempatan, khususnya dari segi akses kepada data.
Beliau berkata data di bawah bidang MOT lebih tertumpu kepada pengangkutan awam manakala data berkaitan jalan raya melibatkan agensi yang berkenaan termasuk Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya.
“Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mempunyai pelbagai data yang dibuka kepada orang ramai meliputi jumlah penumpang harian, kekerapan tren serta jadual waktu perkhidmatan,” katanya.
Pada majlis itu, Loke melancarkan Fasa Ketiga Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek yang melibatkan pelaburan RM5 juta oleh Prasarana bagi meningkatkan keselesaan pengguna dan persekitaran stesen.
Hadir sama ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Dr Prodyut Dutt serta Pengarah Urusan Think City Datuk Hamdan Abdul Majeed.
Semalam, kerajaan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.













Tinggalkan Balasan