PGA Tahan 360 Pendatang Tanpa Izin Di Kelantan Sejak Januari

KOTA BHARU, 15 Mei — Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan 360 pendatang tanpa izin menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan sepanjang tempoh 1 Jan hingga 15 Mei tahun ini.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata daripada jumlah itu warga Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, iaitu sebanyak 264 orang, diikuti warga Thailand (40), Bangladesh (30) dan Indonesia (sembilan).

Selain itu, turut ditahan lapan warga India, empat (Vietnam), tiga (China) manakala masing-masing satu warga Nepal dan Pakistan.

“Kejayaan ini hasil pelaksanaan pelbagai pendekatan dan tindakan agresif bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan migran di kawasan Ops Taring Wawasan Kelantan, khususnya di sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand.

“Malah, operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu itu turut membawa kepada penahanan sembilan tekong darat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 78 serbuan telah dilaksanakan oleh pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA serta Batalion 7, Batalion 8 dan Batalion 9 PGA.

“Antara lokasi panas yang dikenal pasti ialah kawasan pangkalan haram di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Jeram Perdah dan Chabang Empat yang sering digunakan sebagai laluan kemasukan pendatang tanpa izin.

“Sebanyak 110 kes telah disabitkan terhadap pendatang tanpa izin dan tekong yang ditangkap membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk merentas sempadan tanpa melalui jalan sah, berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta membenarkan pendatang tanpa izin berada di premis.

“Selain itu, beberapa kes turut disiasat di bawah Seksyen 26A dan 26J ATIPSOM 2007 berkaitan aktiviti penyeludupan migran,” katanya.