JOHOR BAHRU, 3 Julai — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak agar menghentikan permainan isu lama yang tidak berkaitan dengan Johor sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan persaingan politik berlangsung secara matang dan berhemah.
Timbalan Perdana Menteri berkata fokus kempen seharusnya diberikan kepada kelebihan calon serta tawaran kepada rakyat, memandangkan parti-parti yang bertanding turut bekerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Walaupun ada susuk tubuh tertentu melakukan ‘pembelasahan’ terhadap isu-isu lama kepada UMNO dan BN, saya harap isu itu tidak dimainkan kerana kita adalah rakan di peringkat Persekutuan dan saya harap kita depani gelanggang politik di Johor ini dengan hikmah, dengan sebaik-baiknya.
“Masalah-masalah lain, saya tidak fikir kita perlu bangkitkan sebab setiap minggu kita bertemu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan saya tidak mahu mereka akan serba salah apabila bertemu dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi rakan dalam Jemaah Menteri,” katanya selepas menghadiri program bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas hari ini.
Menjawab dakwaan BN terlalu yakin untuk menghadapi PRN Johor kali ini, Ahmad Zahid berkata parti itu tidak berada dalam keadaan terlalu yakin, sebaliknya menganggap diri sebagai ‘underdog’ berdasarkan perubahan landskap politik negeri berkenaan.
Beliau berkata BN perlu bekerja keras untuk meningkatkan pencapaian melepasi 40 kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini, khususnya apabila lebih separuh pengundi kini terdiri daripada golongan muda.
Menurutnya, manifesto yang dibawa Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi penekanan terhadap keperluan golongan itu termasuk peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Melihat kadar pengangguran yang menurun kepada 2.9 peratus, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia adalah petanda positif namun anak muda masih memerlukan akses kepada pekerjaan bergaji premium yang boleh dicapai melalui latihan kemahiran.
“Apa yang kita hidangkan di Johor ini ialah memberikan latihan teknikal, kemahiran kepada anak-anak muda, dengan peluang yang tinggi sangat diberikan penekanan oleh manifesto Barisan Nasional,” katanya.
Justeru, beliau merayu pengundi muda di Johor supaya memberi sokongan kepada calon-calon BN pada PRN kali ini dengan mengambil kira tawaran yang disediakan untuk masa depan mereka.
BN yang memenangi 40 kerusi pada pilihan raya lepas meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor ke-16.
PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

















Tinggalkan Balasan