KOTA KINABALU, 10 Nov — Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memacu promosi bersepadu dan menjayakan kempen Tahun Melawat Sabah 2027, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata sokongan padu kementerian berkenaan penting untuk membantu kerajaan negeri memperhebat hebahan destinasi pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pelawat domestik dan antarabangsa ke Sabah.
“Penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027 menjadi wadah penting dalam mempromosikan produk pelancongan tempatan serta merancakkan kembali rantaian ekonomi pemain industri di negeri ini.
“Kerjasama strategik antara kedua-dua pihak berupaya memperkukuh industri pelancongan negeri, selain meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi Sabah secara keseluruhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man bersama-sama delegasi kementerian berkenaan di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Pertemuan itu antara lain bertujuan memberi taklimat kepada Hajiji mengenai perkembangan sektor berkenaan serta inisiatif yang sedang dilaksanakan MOTAC di seluruh Sabah.
Delegasi kementerian berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

















Tinggalkan Balasan