Siti Mastura Gagal Dalam Rayuan Kes Fitnah Terhadap Tiga Pemimpin DAP

PUTRAJAYA, 24 April — Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memerintahkannya membayar ganti rugi termasuk kos berjumlah RM825,000 kerana memfitnah tiga pemimpin DAP yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, yang bersidang bersama-sama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, menolak rayuan Siti Mastura selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara, Hakim Ahmad Kamal berkata Mahkamah Rayuan mengesahkan keseluruhan penghakiman Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 4 Dis 2024 termasuk pemberian ganti rugi keseluruhan dan kos berjumlah RM825,000.

Bagaimanapun, pada 23 Jan 2025, Siti Mastura telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 bagi ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Hakim Ahmad Kamal, yang menyampaikan keputusan hari ini melalui Zoom, berkata mahkamah juga mendapati rayuan balas plaintif (pemimpin DAP) tidak mempunyai merit.

“Penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung liabiliti dan penilaian ganti rugi adalah betul, dengan alasan kukuh, dan berdasarkan penilaian fakta dan undang-undang yang tepat. Rayuan dan rayuan balas ditolak. Kami tidak membuat sebarang perintah berkenaan kos,” kata Hakim Ahmad Kamal.

Pada 4 Dis 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Quay Chew Soon mengarahkan Siti Mastura untuk membayar RM300,000, RM250,000 dan RM200,000 masing-masing kepada Kit Siang, Guan Eng dan Kok. Hakim berkenaan turut memerintahkan Siti Mastura untuk membayar kos RM25,000 kepada setiap seorang.

Hakim Ahmad Kamal ketika membacakan penghakiman ringkasnya berkata mahkamah berpendapat cabaran Siti Mastura terhadap dapatan fitnah adalah gagal.

“Perkataan yang dipertikaikan merujuk kepada plaintif dan diterbitkan kepada pihak ketiga. Kami bersetuju sepenuhnya dengan analisis Mahkamah Tinggi tentang maksud semula jadi dan biasa bagi kata-kata yang dipertikaikan itu, bahawa ucapan defendan bukan sekadar kritikan politik, sebaliknya beliau membuat dakwaan yang mengaitkan plaintif dengan Chin Peng.

“Dalam konteks masyarakat Malaysia, melabel seseorang atau memberikan gambaran bahawa dia mempunyai kaitan dengan Parti Komunis yang diharamkan itu, atau musuh negara, atau ancaman kepada keselamatan negara dan Perlembagaan Persekutuan, jelas merupakan fitnah. Kenyataan sedemikian menyentuh kesetiaan, integriti dan reputasi seseorang,” katanya.

Menurut Hakim Ahmad Kamal, defendan (Siti Mastura) bergantung pada pembelaan keistimewaan bersyarat atas alasan beliau seorang ahli politik Malaysia dan ketika berucap pada kempen pilihan raya, beliau mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk memaklumkan partinya tentang ideologi dan latar belakang pihak lawan politik.

Hakim berkenaan berkata mahkamah mendapati penggunaan keistimewaan bersyarat oleh defendan tidak dapat dipertahankan kerana gagal memenuhi keperluan asas, terutamanya elemen kepercayaan jujur terhadap kebenaran penerbitan terbabit.

Beliau berkata mahkamah juga mendapati defendan tidak mengambil langkah sewajarnya untuk mengesahkan ketepatan kenyataan itu sebelum diterbitkan, termasuk gagal mendapat penjelasan daripada pihak plaintif.

“Kelalaian ini menunjukkan kekurangan sikap berhati-hati dan ketelitian, sekali gus menghalang sebarang kepercayaan jujur terhadap kebenaran penerbitan itu dan menggugurkan pembelaan keistimewaan bersyarat.

“Kami berpendapat bahawa defendan tidak boleh bergantung pada keistimewaan besyarat sebagai pembelaan yang sah, memandangkan kegagalan yang cuai untuk mengesahkan kebenaran kenyataan itu. Kami turut berpandangan Mahkamah Tinggi telah menilai dengan sewajarnya pembelaan justifikasi, ulasan yang saksama dan keistimewaan bersyarat sebelum memutuskan bahawa defendan gagal membuktikan mana-mana daripadanya,” katanya.

Hakim Ahmad Kamal berkata mahkamah tidak menemukan sebarang kesalahan dalam dapatan Mahkamah Tinggi berhubung unsur niat jahat, sambil menambah bahawa defendan tidak memohon maaf mahupun menarik balik kenyataan itu walaupun diberi peluang.

“Beliau langsung tidak berusaha untuk menghubungi mereka bagi mengesahkan dakwaan melampau itu sebelum disiarkan kepada khalayak. Kegagalan ini, seperti yang diputuskan mahkamah, jelas menunjukkan pengabaian sengaja terhadap kebenaran, yang merupakan inti pati kepada niat jahat,” katanya.

Saman yang difailkan secara berasingan oleh ketiga-tiga plaintif pada 27 Nov 2023 itu berikutan kenyataan yang dibuat Siti Mastura semasa ceramah politik ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman.

Plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan mereka dengan Parti Komunis Malaya dan pemimpinnya Chin Peng serta Perdana Menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew. Kenyataan itu yang dibuat dalam ceramah politik pada 4 Nov 2023, turut menuduh mereka menyokong, mengamalkan dan menyebarkan ideologi serta fahaman komunis di negara ini.

Ketiga-tiga ahli politik itu menegaskan bahawa tuduhan berkenaan tidak berasas, tidak benar dan berniat jahat, selain sengaja mengaitkan mereka dengan Parti Komunis dan Chin Peng.

Pada prosiding hari ini, Siti Mastura diwakili peguam Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu, manakala Kit Siang, Guan Eng dan Kok diwakili peguam Datuk Sankara Nair.