SMC Perkenal Tempoh Ihsan, Pas Warga Emas Tambah Baik Sistem Parkir Pintar

SIBU, 10 Julai — Majlis Perbandaran Sibu (SMC) akan memperkenalkan tempoh ihsan antara 5 hingga 10 minit kepada pemandu yang menggunakan sistem Parkir Pintar SMC Cares sebelum Notis Lebih Tempoh Parkir (OPN) dikeluarkan, berikutan aduan orang ramai berhubung kompaun dikenakan terlalu cepat selepas kenderaan diparkir.

Pengerusi SMC Clarence Ting Ing Horh berkara pihak majlis telah mengarahkan penyedia sistem Primal Solution Sdn Bhd mengkaji pelaksanaan tempoh ihsan itu bagi memberikan masa mencukupi untuk pemandu mengaktifkan parkir menerusi aplikasi mudah alih.

“Kami memahami pengguna memerlukan masa untuk parkir dan keluar dari kenderaan dan mengaktifkan aplikasi. Kami mahu menjadikan sistem lebih mesra pengguna dan lebih mudah, bukannya menghukum orang ramai,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata pihak majlis juga bersetuju untuk memperkenal Pas Parkir Warga Emas untuk pemandu berusia 60 tahun ke atas bermula Ogos ini, dengan butirannya akan diumumkan berasingan. 

Sehubungan itu, Ting berkata SMC mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai bagi menambah baik sistem parkir pintar dan meminta pengguna menyalurkan aduan terus kepada SMC, bukannya bergantung kepada maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial. 

Beliau berkata pemandu yang berpendapat OPN dikeluarkan secara tidak wajar, termasuk disebabkan kesilapan nombor pendaftaran atau atas sebab munasabah yang lain, boleh mengemukan rayuan kepada SMC untuk semakan, sambil menambah setiap notis dikeluarkan disokong oleh bukti bergambar yang disimpan dalam sistem.

Selain itu, beliau berkata petugas parkir yang dilantik oleh kontraktor hanya diberi kuasa untuk menguatkuasakan kesalahan berkaitan parkir, seperti kegagalan membayar caj parkir, tempoh parkir yang telah tamat dan lebih tempoh parkir.

“Penguatkuasaan terhadap kesalahan parkir haram, termasuk yang menghalang aliran trafik, masih di bawah bidang kuasa Bahagian Penguatkuasaan SMC dan pihak polis. Dakwaan yang tular di media sosial bahawa petugas parkir mengeluarkan kompaun bagi kesalahan parkir haram adalah tidak benar,” katanya

Beliau berkata orang ramai yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan khidmat di kaunter khas SMC Cares di Perpustakaan Awam Sibu, yang menyediakan petugas untuk membantu pengguna mendaftar dan menggunakan aplikasi berkenaan.

Mengenai dakwaan Sibu mengenakan kadar caj parkir tertinggi di Sarawak, Ting berkata perbandingan yang dibuat menunjukkan kadar parkir di bandar itu masih kompetitif berbanding kadar yang dikenakan pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu. 

Ting berkata sejak diperkenalkan, sistem Parkir Pintar SMC Cares telah mencatatkan lebih 93,000 pengguna berdaftar, dan pihaknya menjangkakan jumlah tersebut akan melepasi sasaran awal sebanyak 100,000 pengguna menjelang akhir tahun ini.

Pengumuman oleh SMC itu susulan kritikan meluas daripada orang ramai di media sosial terhadap sistem Parkir Pintar SMC Cares yang dilaksanakan sepenuhnya awal bulan ini, antaranya mengenai proses pendaftaran yang rumit, khususnya bagi warga emas, aplikasi kurang mesra pengguna dan prestasi sistem yang perlahan.