KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Kedah dibawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir sedang giat berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan dari China ke negeri itu, bagi meraih manfaat daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Beliau berkata, status negeri kurang maju berbanding kuasa-kuasa ekonomi negara seperti negeri jiran Pulau Pinang merupakan faktor kelebihan pada masa sekarang kerana ia bermakna pelabur asing akan menikmati penurunan kos sekiranya mereka melabur di Kedah.

Usaha berterusan Kedah dan negeri-negeri lain untuk menarik pelaburan China ketika pertikaian perdagangan AS-China terus berlarutan sehingga sekarang juga sebahagiannya dibantu oleh hubungan baik sedia ada antara pemimpin kedua-dua negara (Malaysia dan China), kata Mukhriz.

“Naluri saya berkata bahawa mereka mempunyai rasa hormat terhadap pemimpin yang tahu apa yang mereka mahukan dan mempunyai pengalaman yang lama…Perkara sebegitu yang mereka iktiraf dan menghormati,” katanya pada satu temu bual bersama akhbar the South China Morning Post pada Selasa.

Kedah juga terkenal sebagai negeri jelapang padi Malaysia kerana kira-kira 40 peratus daripada bekalan beras negara datang dari negeri tersebut.

“Ketika perang perdagangan berterusan antara AS dan China, (pelabur Cina) perlu mencari tempat lain untuk memasang barangan mereka. Tempat yang paling sesuai adalah tempat di mana mereka mendapatkan komponen mereka.

“Jadi adalah perkara biasa mereka akan datang ke Malaysia, tetapi secara khususnya di wilayah utara ini. Di Kedah, kami mempunyai lebih banyak tanah, kami lebih murah, kami mempunyai insentif cukai khas kerana kami adalah negeri kurang maju berbanding Pulau Pinang.

“Ada banyak perkara yang bagus berlaku di sini, dan kami perlu berusaha keras untuk menarik pelaburan. Kami tidak mahu ketinggalan sekiranya kami tidak cukup pantas, ” kata Mukhriz.

Meskipun Kedah menumpukan perhatian terhadap perniagaan dari China, negeri itu juga mengalu-alukan pelaburan dari negara-negara lain.

Beberapa syarikat dari Barat telah membuat pertanyaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ketika mereka mencari jalan untuk memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas antara China dan ASEAN.

“Daripada 10 negara ASEAN, saya percaya Malaysia paling banyak mendapat manfaat. Negara-negara asing dari Eropah, Amerika…mahu mengambil kesempatan daripadanya, “katanya.

Mukhriz juga berkata Huawei, syarikat teknologi gergasi China, sedang merancang tapak ujian bagi teknologi 5Gnya di Langkawi, dengan harapan kedatangan teknologi 5G canggih di Kedah akan dapat meningkatkan sektor pertanian yang sangat kritikal serta industri lain.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here