Dr Mahathir tiba di New York untuk Perhimpunan Agung PBB

NEW YORK, 25 Sept — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di New York untuk menyertai lain-lain pemimpin-pemimpin dunia di Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).

Pesawat yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Westchester County, yang turut dikenali sebagai Lapangan Terbang White Plains, yang terletak di timur laut bandar raya New York pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari, Selasa (waktu New York 12 jam di belakang Malaysia).

Perdana Menteri berumur 94 tahun itu diiringi oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Antara yang berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan beliau ialah wakil tetap Malaysia ke PBB Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan duta besar ke Amerika Syarikat Datuk Azmil Mohd Zabidi.

Dr Mahathir dijangka memulakan lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat untuk UNGA dengan mengambil bahagian dalam majlis peringkat tinggi di luar perhimpunan itu yang bertajuk ‘Rohingya Crisis – A Way Forward’, di ibupejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejurus selepas ketibaannya.

Malaysia merupakan hos majlis itu bersama dengan Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan Kanada.

Perdana Menteri dijangka menyampaikan kenyataan negara Malaysia di perbahasan umum UNGA, Jumaat.

Beliau dijangka mengetengahkan perkembangan semasa dunia dan menekankan kepada kepentingan ‘multilateralism’ di samping keperluan negara-negara untuk bekerjasama menangani cabaran yang dihadapi bersama.

Dr Mahathir juga dijadualkan menyampaikan ucapan di program ‘Environmental Stewardship in Addressing Poverty to Achieve Sustainable Development for All’, Khamis.

Malaysia merupakan penganjur utama program itu dengan kerjasama Turki, Pakistan serta Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB (UNDESA).

Satu lagi acara utama dalam jadual Perdana Menteri adalah penyertaan beliau dalam Dialog 6 Pemimpin-pemimpin pada hari Rabu bertajuk ‘The 2020 – 2030 Vision’ sempena dengan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mapan.

Perdana Menteri juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa rakan sejawatnya di luar UNGA, selain menghadiri Forum Pemimpin-pemimpin Dunia di Universiti Columbia dan menemui pelabur-pelabur berpotensi.

Dr Mahathir dalam lawatan kerja ini diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here