KUALA LUMPUR, 25 Sept — Hubungan dua hala China-Malaysia berada pada momentum yang kukuh, secara tidak langsung memberi banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, kata Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.

Berucap pada ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China, di sini semalam, beliau berkata selama 45 tahun lalu, hubungan Beijing-Kuala Lumpur semakin kukuh, mencerminkan kesamaan, saling hormat-menghormati dan situasi menang-menang.

“Kerajaan Pakatan Harapan diketuai Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir (Mohamad) berminat mengukuhkan hubungan China-Malaysia,” katanya.

Bai berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-45 hubungan China-Malaysia dan Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China dan antara negara pertama menyokong serta mengambil bahagian dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).

Semasa penutup kempen “Malaysia Week 2019” anjuran kerajaan Malaysia dan kumpulan Alibaba, katanya sebanyak satu tan durian Musang King dijual dalam masa kurang sejam dan sebanyak 80,000 botol sarang burung Malaysia dijual dalam masa hanya lima minit.

“Ia menunjukkan momentum yang kuat serta pentingnya hubungan mesra dan kerjasama China-Malaysia,” katanya.

Dalam ucapannya, Bai menjelaskan ekonomi China akan mengalami pertumbuhan yang mantap, kukuh dan mampan, memainkan peranannya sebagai enjin ekonomi dunia ke arah pembangunan yang damai dan terbuka.

Menurutnya, China mengekalkan hubungan damai dan harmoni dengan hampir semua negara di dunia dan tetap berpegang pada dasar pembaharuan, terbuka dan mengukuhkan kerjasama dengan semua negara.

“Kami belajar daripada orang lain, dan berkongsi peluang serta kemakmuran, di samping berpegang pada semangat Piagam PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya.

Bai berkata China telah mengalami pembangunan dan perubahan luar biasa.

“Tahun depan (2020) China akan melahirkan masyarakat yang berkemampuan, bermakna jurang kemiskinan dapat dihapuskan dan 1.4 bilion penduduk akan menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Dalam tempoh 70 tahun lalu, Bai berkata, China merupakan negara kurang maju, kini muncul sebagai pengeksport terbesar dan pengimport komoditi kedua terbesar di samping menjadi negara penerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) kedua terbesar.

China kini merupakan rakan dagang terbesar bagi lebih 130 negara dan penggerak pertumbuhan ekonomi dunia, menyumbang 30 peratus kepada pertumbuhan global setiap tahun selama lebih 10 tahun dan pencapaian itu akan terus dipacu pada masa depan, katanya.

Berkongsi kisah kejayaan China, Bai berkata antara lain China kini mempunyai sektor pengeluaran terbesar dunia dan kedua terbesar daripada segi perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di samping pengeluar terbesar automobil.

“China telah memimpin dunia dalam pemfailan paten selama lapan tahun berturut-turut, dan menonjol di arena teknologi 5G, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan,” kata Bai.

Bai berkata sejak 70 tahun lalu, banyak kejayaan dicapai berhubung kait diplomasi, dengan hanya 18 negara pada 1949 kini Beijing telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan 179 negara.

“Dengan 179 negara ini, China telah mengadakan banyak perkongsian. Inisiatif BRI yang dicadangkan Presiden Xi Jinping menerima sokongan lebih 160 negara, wilayah dan organisasi antarabangsa,” jelasnya.

Di peringkat global, katanya pencapaian negara tembok besar itu meningkat dengan muncul sebagai penyumbang kedua terbesar untuk bajet PBB.

Terdapat negara tertentu beranggapan sukar untuk menerima pencapaian China dan berusaha sedaya upaya menyekatnya dengan memcetuskan masalah seperti perang dagangan, isu Hong Kong dan Taiwan dan lain-lain.

Beliau yakin China mampu mengatasi sebarang cabaran yang mungkin timbul di masa depan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here