PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) — Penilaian untuk Rangka Kerja Pengarusutamaan Gender yang dicadangkan telah selesai pada Mac tahun ini dan sedia untuk dilancarkan tidak lama lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata rangka kerja itu akan disyorkan untuk diterima pakai oleh semua kementerian dan agensi kerajaan.

Pelan tindakan jantina akan mencadangkan bagaimana perspektif dan sasaran jantina dapat diintegrasikan ke dalam semua perancangan dan belanjawan, dan peranan utama data berhubung diskriminasi seks juga akan ditekankan, katanya.

“Rangka kerja ini penting demi manfaat masyarakat, wanita, lelaki dan keluarga, oleh itu semua kementerian mesti memberikan perhatian kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Bank Dunia berjudul “Memecahkan Halangan: Ke Arah Peluang Ekonomi yang Lebih Baik untuk Wanita di Malaysia”, di sini hari ini.

Rangka kerja berkenaan merupakan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk menilai pelaksanaan pelan tindakan nasional untuk kemajuan wanita.

Ditanya sama ada ia sempat dibentangkan pada Belanjawan 2020 pada Oktober ini, Dr Wan Azizah berkata ia mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana masa agak terhad.

Mengenai laporan Bank Dunia, Wan Azizah berkata cadangan dasar itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menghapuskan halangan bagi wanita untuk mengambil bahagian dalam ekonomi.

Di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi, beliau berkata persamaan jantina juga akan meningkatkan keselamatan fizikal, kesejahteraan dan autonomi wanita.

Dr Wan Azizah berkata KPWKM sedang merangka dua perundangan yang bertujuan untuk meningkatkan perlindungan terhadap wanita.

“Pertama, satu Rang Undang-undang untuk melarang semua bentuk diskriminasi terhadap wanita, dan keduanya Rang Undang-Undang untuk menangani masalah gangguan seksual di dalam dan di luar tempat kerja,” tambahnya.

Dr Wan Azizah berkata Kementerian Sumber Manusia juga berusaha mengukuhkan perlindungan untuk wanita dan keluarga di bawah Akta Pekerjaan 1955, termasuk melanjutkan cuti bersalin bergaji dan memperkenalkan cuti paterniti.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here