KUALA LUMPUR, 4 Okt — Bagi menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed telah menggariskan penekanan berhubung pembangunan kemahiran serta kepentingan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Dr Kamal Salih yang senada dengan Dr Mahathir berkata masa depan memerlukan pekerja yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dan ini bermaksud perlu ada kelonggaran atau fleksibel dalam sistem pendidikan kita.

“Kita benar-benar mahu maju ke hadapan, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 memerlukan lebih kemahiran daripada pendidikan umum.

“Di sinilah kita harus beralih, mesti boleh disesuaikan dalam sistem, sehingga ke universiti dan universiti sepatutnya tidak membenarkan mereka yang lulus di peringkat A-level atau STPM untuk mendaftar masuk, mereka boleh masuk (universiti) di peringkat lain, sama ada diploma atau melalui pengalaman kerja dengan sijil,” kata Kamal.

Beliau mencontohi sistem dwipendidikan di negara Jerman, yang Malaysia boleh jadikan penanda aras, iaitu seseorang itu boleh menjadi penuntut universiti dan bekerja dalam industri untuk seketika, kembali semula dan menyelesaikan ijazahnya.

“Jadi anda mendapat pengalaman, mengetahui dunia perniagaan, anda tahu dunia pekerjaan, bahkan sebelum anda bergelar graduan, oleh itu boleh halakan pembacaan anda, pengajian anda, belajar mengenai apa yang anda suka, belajar daripada apa yang anda lakukan dalam industri, semasa latihan,” katanya.

Kamal juga membangkitkan mengenai kekurangan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia yang agak kritikal.

Kamal berkata selain bahasa Inggeris, mampu berfikir, bercakap dan berkomunikasi adalah penting terutama dalam menghadapi era Revolusi Perindustrian Keempat (4.0) yang memerlukan banyak teknologi.

“Anda perlu mempunyai pengetahuan. Era kerja masa depan adalah intensif pengetahuan, pekerjaan 3D – pekerjaan yang sukar, berbahaya, kotor – akhirnya akan diambil alih robot, sama ada di udara atau dalam air, atau di permukaan, untuk meletupkan bom, ia boleh terbang dan pecut, kerja-kerja penyemburan di ladang dan sebagainya, atau suatu hari mungkin menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata kemahiran manusia diperlukan untuk pemikiran kognitif, mereka bentuk, menyusun semula, melaksanakan perkara dan membuat keputusan serta komunikasi dan ketegasan.

Kamal juga berkata liputan internet yang meluas sangat penting terutama mencakupi kawasan luar bandar, membolehkan wanita bekerja dari rumah.

“Sekiranya rumah mereka di kawasan luar bandar, wanita tidak perlu datang ke pejabat, mereka boleh menjaga anak-anak mereka,” kata beliau yang menekankan wanita tidak perlu berhenti kerja untuk menjaga keluarga mereka.

Kamal berkata seseorang boleh bekerja bila-bila masa kerana ekonomi dunia sebenar adalah 24 jam, ia adalah di internet.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here