KUALA LUMPUR, 7 Okt — Malaysia mahu memanfaatkan usaha sama dengan China dalam sektor teknologi khususnya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata tatkala perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan protes di Hong Kong berlarutan, lebih banyak firma teknologi daripada negara berkenaan berminat untuk mengembangkan operasi ke ASEAN, yang menawarkan perkhidmatan kepada pasaran 640 juta pengguna.

“Tiada tempat yang lebih baik seperti Malaysia untuk mereka mendedahkan diri mereka kepada ekosistem negara yang rancak,” katanya pada pertandingan akhir Inovasi & Keusahawanan Perdana Global China atau IPIEC Global 2019 – peringkat ASEAN hari ini.

Selain itu, katanya platform IPIEC menawarkan peluang besar kepada usahawan untuk menerokai pasaran China dengan sokongan kerajaan.

Platform teknovasi China untuk harta intelek dan penyedia perkhidmatan korporat WTOIP Global ialah penganjur pertandingan itu.

Pertandingan akhir peringkat ASEAN diadakan dengan kerjasama Yayasan BETA, Taman Teknologi Malaysia (TPM) dan iOli Communications.

“Saya fikir satu daripada kekuatan WTOIP adalah pengalaman yang diraih mereka di provinsi Guangdong, satu daripada kawasan yang paling berdaya maju dari segi ekonomi di China, yang termasuk Shenzhen, yang menempatkan banyak syarikat berteknologi tinggi.

“Mengambil kira ASEAN sebagai destinasi yang amat menarik dan konflik AS-China telah memberikan banyak faktor pendesak untuk syarikat China dalam sektor teknologi untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negara, ini adalah masa yang tepat untuk semua pihak berkepentingan di sini seperti TPM atau Yaysan BETA untuk mencari peluang untuk bekerjasama dengan syarikat teknologi China,” kata Ong.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan BETA, Lilyana Abdul Latiff, berkata 11 projek telah dipilih untuk pertandingan akhir peringkat ASEAN.

Mereka termasuk lapan projek dari Malaysia, dua dari Indonesia dan satu projek dari Myanmar, yang meliputi antara lain penjagaan kesihatan, kejuruteraan, persekitaran, Objek Rangkaian Internet dan lejar digital terbuka.

Pada pertandingan pembentangan idea hari ini, dua projek akan dipilih untuk bersaing di pentas global di Guangdong pada Disember bersama-sama dengan peserta antara lain dari Switzerland, Hong Kong, Jerman, AS dan United Kingdom.

Secara keseluruhannya, 50 permohonan diterima dari rantau itu.

“Ketika kami berada di China, persepsi mereka bahawa semua teknologi perlu pergi ke China, dan mereka bimbang bahawa banyak teknologi di Asia Tenggara sudah berada pada tahap yang sama dengan apa yang mereka sudah ada di China.

“Sementara itu, Asia Tenggara berminat untuk memanfaatkan dan membawa keluar teknologi China, untuk datang ke sini dan membantu syarikat kecil dan sederhana kami,” katanya sambil menambah bahawa penting bagi kedua belah pihak untuk bekerjasama.

Ketua pembangunan perniagaan global WTOIP Global, Raffle Chan, selain memupuk potensi IP, pemenang juga akan dipadankan dengan potensi perniagaan dan entiti kerajaan di seluruh China.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here