KUALA LUMPUR, 8 Okt -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke- 14 di Bangunan Parlimen hari ini. -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Tiada sebab untuk kerajaan mengembalikan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan peralihan sistem cukai yang kerap hanya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik.

“Banyak jenis cukai yang diperkenalkan, GST diperkenalkan dan banyak rintihan oleh rakyat kerana mereka perlu membayar cukai dua kali, sebab itu kita perlu kembalikan SST.

“SST ini sedang berjalan dengan kita hanya perlu perbaiki dan tidak ada sebab untuk kita mengembalikan cukai yang ditolak oleh rakyat (GST),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk melaksanakan semula sistem percukaian GST jika ia dikehendaki oleh rakyat.

Ma’mun berkata terdapat luahan sentimen yang berbeza dalam kalangan masyarakat memandangkan terdapat yang menyokong sepenuhnya cadangan tersebut dan juga segolongan besar yang menolaknya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here