PONTIAN, 13 Okt — Majlis Daerah Pontian (MDP) berpotensi dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Pontian dalam tempoh dua tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin berkata ia berdasarkan kadar pungutan hasil cukai tahunan melepasi RM20 juta seperti disyaratkan dan jumlah penduduk di daerah berkenaan yang menghampiri 200,000 orang.

“Ketika ini, kadar pungutan hasil Majlis Daerah Pontian adalah sebanyak RM37 juta setahun manakala jumlah penduduk seramai 180,000 orang.

“Insya-Allah, saya lihat Majlis Daerah Pontian berpotensi dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Pontian dalam tempoh dua tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Majlis Daerah Pontian, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian Nor Syazlan Abd Razak.

Zuraida berkata berdasarkan taklimat yang disampaikan kepadanya hari ini, beliau kagum dengan pembangunan Pontian yang terancang sekali gus membantu merealisasikan hasrat naik taraf berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang itu berkata lawatan beliau hari ini juga untuk meninjau pelaksanaan projek pembangunan di Tanjung Piai, yang diluluskan kementeriannya seperti dipohon mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Zuraida berkata antara projek tersebut merangkumi pembinaan medan selera di Kukup, penstrukturan semula laluan pejalan kaki di kawasan Parlimen itu dan pembinaan dewan serta taman permainan kanak-kanak Kampung Melayu Kukup.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here