LANGKAWI, 17 Okt — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menawarkan pengecualian yuran pendaratan selama setahun kepada Qatar Airways bersempena pelancaran penerbangan ke Langkawi melalui Pulau Pinang dari Doha.

Pengurus Besar Pemasaran Syarikat Penerbangan MAHB, Mohamed Sallauddin Mat berkata Qatar Airways juga akan mendapat rebat penumpang RM50 untuk setiap orang selama dua tahun dan sokongan pemasaran bagi mengukuhkan lagi kehadirannya.

“Saya juga ingin meyakinkan Qatar Airways bahawa MAHB sentiasa bersedia memberikan sokongan sepenuhnya jika ia memerlukan mana-mana fasiliti serta perkhidmatan di lapangan terbang MAHB. MAHB telah memperkenalkan Dana Promosi Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITPF) pada awal tahun ini untuk membantu mempercepatkan pembangunan pelancongan ke Langkawi.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan Tourism Malaysia melalui Program Pembangunan Pelancongan Bersama Antarabangsa (JITDP) dalam pemasaran dan promosi pelancongan dengan tujuan untuk menjana kedatangan pelancong yang lebih besar termasuk meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan paling diminati.

“Kami berharap Qatar Airways akan mengambil peluang melalui kedua-dua program sokongan pemasaran ini,” katanya kepada pemberita selepas meraikan majlis penerbangan sulung Qatar Airways ke Langkawi.

Qatar Airways memulakan penerbangan pertamanya ke Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha pada 15 Okt lepas.

Mohamed Sallauddin ketika bercakap mengenai rancangan masa hadapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi memberitahu lapangan terbang itu telah menyiapkan peluasan terminalnya pada tahun lepas iaitu peningkatan kapasiti daripada 1.5 juta penumpang setahun dan akan memiliki empat hingga lima jambatan udara untuk kemudahan penumpang.

“Kami telah mengemukakan pelan untuk membina dermaga tambahan dan juga memasang sekurang-kurangnya empat hingga lima buah jambatan udara bagi menyokong pesawat yang lebih besar tetapi masih menunggu kelulusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Pada masa yang sama juga, kami sedang membangunkan kemudahan tambahan supaya mudah untuk kami mengasingkan ketibaan penumpang antarabangsa atau domestik dan mempunyai karusel bagasi yang berasingan bagi kedua-dua jenis penumpang,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here