KUALA LUMPUR, 31 Okt — Komitmen dan pelaburan yang signifikan oleh kerajaan memberi isyarat terhadap hasrat untuk mempercepatkan lagi transformasi negara ini dengan mendukung teknologi digital, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, Kerajaan pada Belanjawan baru-baru ini mengumumkan satu peruntukan bagi pembangunan ekosistem 5G berjumlah RM50 juta dan seterusnya RM25 juta pemberian padanan untuk mengadakan lebih banyak lagi projek perintis bagi 5G sebagai langkah mempercepatkan pertumbuhan 5G dan teknologi baharu di Malaysia.

Ketika berucap di hadapan pemain multinasional terkemuka dan digital korporat tempatan pada Maxis Business Spark Summit 2019 di sini, hari ini, menteri berkenaan berkata industri berkenaan bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini mengumumkan pelancaran projek demonstrasi 5G yang akan merangkumi 55 kes penggunaan melibatkan 32 kawasan di enam negeri.

Jumlah pelaburan industri dalam projek ini dianggar melibatkan RM116 juta, kata Gobind dan menambah bahawa bagi meningkatkan lagi penggunaannya, kerajaan juga memperkenalkan pemberian padanan 50 peratus melibatkan jumlah sehingga RM5,000 setiap syarikat bagi syarikat kecil dan sederhana yang mengguna pakai langkah-langkah pendigitalan.

Seterusnya, pemberian padanan automasi pintar berjumlah RM550 juta akan disediakan kepada 1,000 pengeluar dan 1,000 syarikat perkhidmatan bagi mengautomasikan proses perniagaan mereka, katanya.

Gobind berkata, kerajaan akan membelanjakan RM70 juta, menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), untuk menubuhkan 14 pusat sehenti peningkatan digital selain RM20 juta yang telah diperuntukkan bagi melahirkan juara tempatan yang dapat menyediakan isi kandung digital terutama dalam permainan elektronik dan animasi.

“Pada Belanjawan 2020 baru-baru ini, terdapat komitmen tinggi daripada kerajaan untuk menjayakan transformasi digital. Belanjawan itu tertumpu bagi mengadakan infrastruktur digital berkualiti tinggi dengan memberi penekanan terhadap mengukuhkan lagi isi kandung digital, mendukung pendigitalan, mempertingkatkan e-dagang dan menggalakkan penggunaan teknologi 5G,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), tunggak kepada transformasi digital di Malaysia, bertujuan menyediakan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi yang bersepadu dan rangkaian digital berkualiti tinggi ke seluruh negara.

“Apabila kita memperkatakan mengenai teknologi baharu, kita perlu mengetengahkan juga topik 5G. Teknologi ini akan mengubah cara kita berkomunikasi, bekerja dan kehidupan.

“5G sudah tentunya akan menguatkan kapasiti kita dalam fasa IR4.0. Ia akan membolehkan industri kita mengeksploitasi sepenuhnya kuasa kecerdasan buatan, robotik, data besar, realiti maya, dan kejuruteraan perisian. Tiada sangsi lagi bahawa ia juga akan membawa satu perubahan kepada kelajuan-ultra-tinggi dan dunia kesalinghubungan kita,” katanya.

Gobind berkata, kerajaan juga mengambil perhatian khas dalam memajukan sub-sektor berhubung Perkara Internet (IoT), yang hingga terhasilnya beberapa perkongsian pasaran.

Pengkomersialan infrastruktur “bandar pintar”, aplikasi dan perkhidmatan seperti lebuh raya pintar, sistem pengurusan trafik pintar dan sistem pengurusan tenaga yang maju dijangka membawa kepada penerimaan IoT ke seluruh sektor sosial dan ekonomi utama, katanya.

Menteri berkenaan juga menggesa semua perniagaan agar segera memulakan dan melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan dan bakat dalam teknologi digital atau berdepan dengan risiko ketinggalan dalam persaingan global pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here