KUALA LUMPUR, 18 Dis — Standard Chartered Saadiq Bhd, anak syarikat Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, memeterai perjanjian pelbagai jangka panjang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) yang melibatkan hartanah di luar negara serta perniagaan pelancongan.

Bank itu berkata ia telah melanjutkan kemudahan pembiayaan patuh syariah selama dua tahun berjumlah 65 juta pound British kepada dua anak syarikat milik penuh TH untuk pengubahsuaian dan pembiayaan semula hartanah pejabat di United Kingdom.

“Sebahagian daripada dana dikeluarkan kepada LTH Property Holdings Ltd, untuk membiayai sebahagian daripada pengubahsuaian hartanah pejabatnya di London, manakala bakinya digunakan untuk pembiayaan semula pembiayaan hartanah pejabat kedua milik LTH Property Holdings 2 Ltd di Surrey.

“Menurut terma pembiayaan itu, TH mempunyai kelonggaran untuk menukar cagaran pembiayaannya daripada tunai kepada sukuk, kebenaran untuk mengoptimumkan sepenuhnya pelaburan sukuk sedia ada, manakala Shandard Chartered Saadiq diberi pilihan untuk melanjutkan kemudahan itu untuk tempoh setahun lagi,” kata bank itu dalam kenyataan hari ini.

Ini merupakan perjanjian pendanaan berstruktur Islam pertama bagi Standard Chartered Saadiq di Asia Tenggara.

Perjanjian itu dimeterai di Standard Chartered Bank Offshore Labuan, menjadikannya urus niaga pasaran kewangan pertama bagi entiti luar pesisir.

Bank itu juga melancarkan Kempen Umrah 2019 dengan Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TH yang menyediakan perkhidmatan lengkap bagi perjalanan dan melancong untuk umat Islam.

Kempen itu yang berlangsung sehingga 28 Feb, 2020, bertujuan menggalakkan pelanggan bank untuk menyimpan dan memberi ganjaran kepada mereka dalam bentuk perjalanan atau pakej perjalanan ke tanah suci Mekah dan Madinah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here