MELAKA, 26 Dis — Kerajaan negeri Melaka fokus untuk menarik lebih banyak pelaburan melibatkan industri berasaskan teknologi dalam usaha memastikan gaji yang lebih tinggi dapat ditawarkan kepada golongan siswazah di negeri itu.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata ia kerana penawaran gaji dalam sesuatu pekerjaan itu kebiasaannya mengambil kira jenis atau struktur pekerjaan tersebut selain kemahiran yang diperlukan.

“Kita di peringkat kerajaan negeri untuk tempoh akan datang bukan sahaja menarik pelabur tetapi harus memastikan industri yang kita bawa masuk memberikan pulangan yang besar kepada siswazah khususnya dalam aspek gaji.

“Antara industri yang kita lihat mampu memberi pulangan besar ialah bidang elektronik dan berasaskan teknologi berbanding menggunakan kemahiran yang rendah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa membuat lawatan ke sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Katil di sini, hari ini.

Pada 13 Dis lepas media melaporkan mengenai Laporan Siswazah 2018 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang mendedahkan bahawa siswazah yang bekerja di Melaka menerima gaji dan upah paling rendah dengan masing-masing RM4,086 bagi purata dan RM3,127 (penengah).

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan kadar gaji minimum yang dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di Melaka bermula tahun depan, Adly berkata ia bakal menaik taraf dan memperkukuh sosioekonomi pekerja dan negeri secara lebih mampan.

Katanya kadar gaji minima itu diharap dapat dilaksanakan oleh majikan di negeri itu tanpa sebarang halangan atau bantahan demi kebaikan semua pihak.

“Golongan ini juga merupakan penyumbang kepada ekonomi negeri dan negara kerana hampir keseluruhan gaji yang diterima dibelanjakan dalam kitaran ekonomi yang ada…peniaga juga akan dapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelaksanaan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran termasuk empat pihak berkuasa tempatan di Melaka bermula tahun depan.

Bernama pada 18 Dis lepas melaporkan keputusan Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang mengekalkan pemakaian gaji minimum kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik sebagaimana dalam perintah gaji minimum 2018..

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here