Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Malaysia dan China mencatatkan rekod baharu dalam perdagangan dua hala apabila merekodkan pertumbuhan 14.2 peratus kepada US$124 bilion pada 2019 daripada US$108.6 bilion pada 2018.

Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian berkata pertumbuhan itu mencerminkan keyakinan dan sokongan berterusan pelabur China terhadap Malaysia berikutan hubungan dua hala yang telah lama terjalin selama 45 tahun.  

“Apabila pelabur kami datang ke Malaysia, mereka bukan sahaja melihat kepada asas negara tetapi juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan apakah yang mereka boleh harapkan dalam pelaburan jangka panjang.  

“Kami percaya dengan suasana pelaburan yang mesra dan persahabatan dengan Malaysia, kami akan terus bekerjasama rapat dan mewujudkan lebih banyak kesedaran tentang peluang pelaburan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis permeteraian memorandum perjanjian antara China Special Channel (CSC) InvestKL dan Chinese Business Chambers, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Sementara itu Darell berkata, CSC berfungsi sebagai satu saluran tunggal yang menumpukan untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi dan berimpak tinggi dari China.

CSC juga mengubah hala peluang pelaburan yang dikenal pasti menerusi kerjasama aktif dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) di peringkat serantau, serta negeri-negeri di negara ini.

“Sebelum ini, kelulusan pelaburan mengambil masa enam hingga sembilan bulan, tetapi dengan CSC ini, kita mempermudahkan proses dan akan meneliti perkara itu setiap bulan, kerana pelabur China tidak boleh menunggu terlalu lama berikutan isu perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang masih berlarutan,” kata Darell.

Terdahulu semasa perbincangan panel Prospek Ekonomi 2020 InvestKL, beliau berkata Malaysia juga perlu memanfaatkan sektor pertanian, automotif dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mengukuhkan daya saing negara dan menambah baik rantaian bekalan dalam sektor masing-masing.

Menurutnya, dengan pelaksanaan Industri 4.0, Malaysia berupaya menghasilkan lebih banyak produk dan makanannya sendiri yang membolehkan negara berdikari sendiri pada masa depan.

Sementara itu pada sesi yang sama, Pamela Qiu, Pengarah Rangkaian The Economist Corporate Network bagi Asia Tenggara berkata ekonomi Malaysia diunjur berkembang kira-kira 4.4 peratus tahun ini meskipun ketidakpastian persekitaran ekonomi luaran dalam tempoh 12 bulan akan datang yang termasuk perang perdagangan AS-China.

“Walaupun pertumbuhan global dijangka berkembang pada purata 2.4 peratus, kadar pertumbuhan kukuh Malaysia ditambah dengan pekerja berkemahiran tinggi, infrastruktur serta penduduk yang fasih berbahasa Inggeris akan membantu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan isu-isu rumit yang menyelubungi perang perdagangan AS-China, kedudukan negara-negara yang memecahkan sistem perdagangan global dan melemahkan sistem kewangan global susulan perang perdagangan itu dan pertumbuhan rendah global, boleh menjejaskan prospek positif ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here