PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) — Semua pertubuhan dilarang mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan dan mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun, selaras dengan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan jangkitan COVID-19. 

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selaku jabatan kerajaan yang mengawal selia pertubuhan-pertubuhan berdaftar di Malaysia berkata, larangan itu adalah terpakai di setiap peringkat pertubuhan termasuk cawangan-cawangan di seluruh negara.

“Arahan khas yang dikeluarkan ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa Pendaftar di bawah peruntukan Seksyen 3A, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335],” katanya dalam kenyataan hari ini. 

ROS berkata sekiranya sehingga pada tarikh 30 Jun, wabak COVID-19 dalam situasi meruncing maka pertubuhan hendaklah mengemukakan permohonan kepada ROS untuk pertimbangan bagi perlanjutan tempoh daripada tarikh awal yang telah ditetapkan.

“Permohonan perlanjutan adalah bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh pertubuhan berdaftar ke atas undang-undang tubuh pertubuhan serta Akta 335.

“Diharapkan segala usaha dan langkah pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan akan dapat membantu mencegah penularan COVID-19 dan sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada wabak itu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sedang giat melaksanakan usaha untuk mencegah penularan wabak yang telah diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik pada 11 Mac berikutan peningkatan kes yang semakin ketara di seluruh dunia termasuk Malaysia. 

“Selaras dengan itu, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh kerajaan termasuk semua perhimpunan termasuk mesyuarat diarahkan untuk ditangguhkan atau dibatalkan bagi suatu tempoh tertentu,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here