PUTRAJAYA, 22 Mei  — Kesemua tahanan dan petugas di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Semenyih, Selangor akan menjalani ujian saringan COVID-19, kata Menteri Kanan(Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau, yang juga Menteri Pertahanan, berkata ini akan melibatkan kira-kira 1,200 tahanan di Bukit Jalil dan 1,600 tahanan di Semenyih.

Menurutnya, setakat ini ujian saringan hanya akan dibuat di dua depoh ini, selepas tahanannya dikesan positif COVID-19.

Jelasnya ujian saringan turut dilakukan terhadap 114 pegawai di depoh Bukit Jalil dan kesemua mereka didapati negatif virus tersebut.

“Kes melibatkan depoh di Bukit Jalil, kes itu melibatkan pendatang tanpa izin (PTI) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kemudian masuk pula PTI dari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Masjid India.

“Di depoh tersebut mereka bukan tinggal sebilik seorang, mereka tinggal dalam dorm, mungkin sebab itu jangkitan merebak.

“Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen telah mengambil tindakan, seramai 60 PTI yang positif telah dihantar ke hospital sementara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata pegawai yang ditugaskan menjaga keselamatan di depoh tersebut perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepenuhnya.

Beliau turut memaklumkan rakyat tidak perlu bimbang kerana PTI yang berada di dalam depoh tersebut dikuarantin dan tidak bercampur dengan masyarakat luar.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here