HULU TERENGGANU, 21 Jun  — Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM152,700 untuk membantu pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata sumbangan tersebut diberikan kepada 86 pengusaha rumah bot serta bot laju dan pengusaha kedai di pusat pelancongan tersebut.

“Kami menyedari penutupan semua sektor ekonomi sejak 18 Mac memberi impak besar kepada pendapatan rakyat. Oleh itu, sumbangan ini merupakan inisiatif membantu sektor pelancongan di Tasik Kenyir supaya terus berdaya saing,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan di sini, hari ini.

Sebanyak 33 pengusaha bot menerima sumbangan RM500 seorang sementara 20 pengusaha bot laju dan lapan pengusaha kedai masing-masing menerima RM400 seorang.

Selain itu, 25 pengusaha rumah bot yang mengalami kerosakan diberi sumbangan RM5,000 seorang.

Dalam pada itu, Razali berkata selepas dibuka semula pada 12 Jun lepas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Tasik Kenyir mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong.

“Sekarang pelancong akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus bagi semua  pakej di Tasik Kenyir. Contohnya, pakej rumah bot untuk dua hari satu malam hanya RM1,800 berbanding sebelum ini yang berharga RM2,000,” katanya.

Razali turut menyeru pihak Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir supaya mengadakan bengkel bagi membantu ahlinya merancakkan kembali perniagaan masing-masing.

“Berbaki lagi beberapa bulan tahun 2020 ini, kita kena fikirkan apa produk dari Tasik Kenyir ini yang boleh diketengahkan bagi melonjak kedatangan pelancong,” tambahnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here