PUTRAJAYA, 26 Jun — Memasuki hari ke-17 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kes jangkitan COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan baik apabila kes aktif kebolehjangkitan mencatat angka kurang 200 iaitu 191 kes.
Lebih membanggakan, kadar penyembuhan kes COVID-19 di Malaysia adalah antara yang tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN iaitu 96.4 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar kematian COVID-19 di Malaysia juga antara yang paling rendah di seluruh dunia iaitu 1.41 peratus.
“Tiada kes kematian COVID-19 dilaporkan sejak 12 hari yang lepas. Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 semakin menurun setiap hari.
“Untuk pertama kalinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kes aktif adalah kurang daripada 200 pada hari ini,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.