KUALA LUMPUR, 6 Julai – AmInvestment Bank mengekalkan saranan ‘overweight’ (beli lebih) ke atas sektor automobil dengan unjuran jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 565,000 unit bagi 2020.

Penganalisisnya, Jeremie Yap dalam satu nota penyelidikan berkata TIV dalam separuh pertama tahun ini akan disokong oleh prestasi yang bertambah baik dalam keseluruhan industri bagi semua pengeluar auto utama dengan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), melibatkan 100 peratus dan 50 peratus pengecualian cukai jualan (SST) bagi model dipasang tempatan (CKD) dan diimport sepenuhnya (CBU) bermula 15 Jun sehingga 31 Dis, 2020. 

“Menuju ke separuh kedua 2020, kami menjangkakan pemulihan kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang memandangkan bilangan kes baharu tempatan COVID-19 semakin menurun dan kebanyakan perniagaan telah menyambung semula operasi. 

“Kerajaan juga melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan semua pengedar, bilik pameran dan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan kini boleh mengambil tempahan dan pendaftaran bagi kenderaan baharu,” katanya.

Yap berkata pengecualian SST  itu akana membawa kepada penurunan harga kereta antara 1.1 peratus dan 6.5 peratus bagi semua kereta pengeluar yang dilihat sebagai rangsangan kepada jualan kenderaan tempatan, sama dengan tempoh pengecualian cukai selama tiga bulan pada Jun-Ogos 2018. 

Pada 2018, beliau berkata pengecualian cukai sifar-GST membawa kepada penurunan harga antara tiga peratus dan lima peratus yang seterusnya merangsang permintaan bagi kereta baharu dengan jumlah jualan 198,500 unit bagi tempoh Jun-Ogos 2018 (sehingga 42 peratus suku ke sukuk, naik 32 peratus tahun ke tahun). 

Menurutnya, Proton dan Perodua akan mendapat manfaat daripada pengecualian SST itu berbanding yang lain memandangkan harga produk mereka malahan akan lebih murah selepas pengecualian SST kerana keseluruhan produk mereka adalah CKD yang dipasang tempatan. 

“Kami percaya Proton dan Perodua akan terus menerajui sektor auto pada separuh kedua 2020 berikutan harga menarik produknya berbanding pesaing mereka (contoh X70 vs. X-Trail/CR-V; Aruz vs. BR-V).

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan Beli ke atas saham DRB-Hicom (nilai saksama: RM2.49) dan MBM Resources (nilai saksama: RM4.62) kerana mereka adalah proksi kepada prestasi Proton dan Perodua dalam sektor auto,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here