KUALA LUMPUR, 17 Julai — Pemulihan ekonomi global dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini selepas penguncupan yang besar pada separuh pertama berikutan pandemik COVID-19.

Ketua Ekonomi syarikat gergasi e-dagang China JD.com Jianguan Shen berkata kuasa beli bertambah baik pada suku kedua, didorong oleh pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan di seluruh dunia. 

“Pakej rangsangan berjaya mengurangkan impak ekonomi kepada individu dan syarikat yang terjejas berikutan penutupan ekonomi,” katanya pada sesi perkongsian Prospek Ekonomi Global Pasca COVID-19, anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF). 

Pada Khamis, China melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) berkembang 3.2 peratus pada suku kedua selepas merosot 6.8 peratus pada suku pertama, mengatasi jangkaan.

Sementara itu, ekonomi Malaysia dijangka menyaksikan penguncupan pada suku kedua berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi pemulihan dijangka pada suku ketiga susulan aktiviti ekonomi yang disambung semula.

Bagaimanapun, Shen berkata walaupun negara di landasan pemulihan ekonomi, kerajaan tidak boleh melupakan kumpulan berpendapatan rendah yang pulih pada kadar yang lebih perlahan. 

“Pemulihan lebih cepat dicatatkan di bandar-bandar dan dalam kalangan pekerja berpendapatan tinggi, berikutan sektor pekerjaan telah beroperasi semula pada skala yang besar. 

“Sebahagian sektor, terutamanya pelancongan, masih belum beroperasi sepenuhnya berikutan sempadan masih ditutup, dan kebanyakan pekerja dalam sektor pelancongan merupakan golongan berpendapatan rendah,” katanya. 

Di Malaysia, pelancongan domestik telah berkembang dengan PKP yang dilonggarkan secara berperingkat, tetapi pemulihan industri itu masih perlahan.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, industri pelancongan mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM45 bilion sehingga Jun tahun ini, susulan penutupan sempadan antarabangsa dan pembatalan acara berikutan pandemik COVID-19. 

Sementara itu, Pengarah Urusan WEF Saadia Zahidi berkata selepas COVID-19, penting untuk negara menjalankan penilaian semula untuk mengukur kekuatan ekonomi mereka. 

“COVID-19 telah mendedahkan kelemahan ekonomi kita dan menekankan kepentingan rangsangan untuk meningkatkan ekonomi tempatan. Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan mereka mempunyai ruang fiskal yang mencukupi untuk melakukannya,” katanya.

Malaysia telah melancarkan tiga pakej rangsangan, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM295 bilion untuk meningkatkan ekonomi tempatan berikutan krisis COVID-19. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here