PETALING JAYA, 23 Julai : Seorang pemimpin Umno menggesa kerajaan Perikatan Nasional kembali kepada jajaran asal Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), mengikut matlamat projek itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Mohd Sharkar Shamsudin berkata perubahan oleh kerajaan lepas “membantutkan” manfaat ECRL.

”Matlamat ECRL ialah untuk memendekkan masa perjalanan dari Gombak di ibu kota ke Kota Bharu kepada masa kurang dari 4 jam berbanding purata 7 jam melalui jalan raya biasa. Oleh itu, jajaran ECRL asal merentasi Banjaran Titiwangsa melalui Bentong ke Gombak.

“Namun begitu, selepas bertukarnya kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan mengubah laluan baru yang mana tidak akan melalui Bentong dan Gombak.

“Saya melihat keputusan berkenaan lebih kepada faktor politik bukan atas faktor geologi dan alam sekitar seperti dicanang oleh mereka,”katanya dalam kenyataan.

Sharkar berkata kerajaan Barisan Nasional sebelum itu sudah membuat kajian teliti berhubung perkara itu.

“Antara matlamatnya untuk membenarkan mereka yang ingin duduk di Bentong atau Mentakab tetapi bekerja di Kuala Lumpur dengan menaiki ECRL sahaja berulang alik pada setiap hari.

“Jangka masanya pastinya jauh lebih singkat berbanding dengan menaiki kereta dari Bentong ataupun Mentakab ke Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, perubahan laluan oleh kerajaan PH atas alasan menjimatkan menyebabkan projek itu tidak akan sampai ke ibu kota kerana jajaran ditukar.

Stesen ECRL terdekat ke Kuala Lumpur di Bangi dan Putrajaya.

“Ini bermakna penduduk Kuala Lumpur perlu menghala ke selatan sebelum menaiki kereta api ECRL di Bangi atau Putrajaya untuk ke utara, begitu juga penduduk dari Pahang dan Pantai Timur yang ingin ke Kuala Lumpur, perlu ke Putrajaya,” katanya.

Selain untuk kemudahan rakyat, aspek pelancongan juga perlu diberikan perhatian.

“Projek ECRL yang berfungsi memendekkan perjalanan dari ibu negara akan menyemarakkan lagi kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Pahang dan Pantai Timur,” katanya.

Katanya, jika laluan yang diubah diteruskan ia akan merencatkan aktiviti pelancongan.

“Atas faktor itulah maka jajaran asal ECRL perlu dikembalikan kerana pelaksanaan projek infra-rakyat itu bukan untuk membebankan rakyat,”katanya.

Cadangan pertama projek itu bawah BN akan melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang.

Jajaran yang dicadangkan pentadbiran PH tidak melalui Bentong dan Gombak, sebaliknya, melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi/ Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Dengan beberapa perubahan, termasuk pengurangan stesen dari 24 ke 20 maka kos projek itu dikurangkan daripada RM66.5 bilion kepada RM44 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here