JOHOR BAHRU, 2 Ogos — Seramai 29 individu dikenakan kompaun di negeri ini berikutan tidak memakai pelitup muka di kawasan pengangkutan awam dan tumpuan orang ramai.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 26 kompaun dikeluarkan di daerah Kota Tinggi, manakala tiga lagi di daerah Iskandar Puteri.

Ia susulan pemantauan polis di 389 tempat awam yang dijalankan sejak semalam hingga 12 tengah hari tadi.

“Orang ramai yang dikesan gagal mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP)  Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dikenakan kompaun iaitu denda sebanyak RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan akan terus dilakukan di kawasan tumpuan orang ramai bagi memastikan SOP pemakaian pelitup muka yang mula dikuatkuasakan semalam, dipatuhi.

Tindakan tegas termasuk melakukan tangkapan akan diambil sekiranya orang ramai masih lagi ingkar dan tidak patuh terhadap SOP itu, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here