PETALING JAYA, 17 Ogos: Polis menahan seramai 286 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 44 individu direman manakala 242 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (34), premis beroperasi lebih masa (4), tidak memakai pelitup muka (35), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (213),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 12,063 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Beliau berkata semua ditempatkan di 61 hotel dan 5 institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,886 individu didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Ismail berkata semalam polis mengadakan 362 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan semua individu yang dikuarantin mematuhi SOP yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here